20110316

Keepers of Holy Words II

Ahad lepas aku sekali lagi ikut member aku Irfan ke Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu. Kali ni mak dengan adik dia ikut sekali. Jadi memang macam sardin sikit la duduk dalam Waja 3 orang kat belakang. Pagi Ahad tu pukul 9.00, aku dikejutkan dengan panggilan telefon oleh Irfan ni, tanya nak ikut dia ke Kuala Terengganu ke tak. Aku dah la tak siap satu apa pun lagi; mulut pun lekat air liur basi lagi. Dalam lebih kurang setengah jam aku dah siap mandi dan kemas seluar baju, kali ni aku packing untuk 3 hari, walaupun perginya untuk 2 hari je.
Bertolak dalam pukul 11 sebelas jugak la. Sampai kat sana tengah hari- sembahyang di Masjid Terapung (yang sebenarnya taklah terapung pun), lepas tu pergi dan tinggal member aku tu kat Pejabat Agama untuk taklimat peserta. Ayah si Irfan ni sebenarnya suruh aku teman dia ni masuk taklimat, tapi member aku ni pulak berkeras nak pergi seorang, aku pun malas la nak berkepit 24 jam dengan dia. Tinggal dia kat situ, aku dengan keluarga dia ke medan selera baru dekat tepi Giant, makan nasi ayam. Kekok jugak la, ye la, dah aku dengan mak bapak adik dia je. Dia tak ada. Petang tu lepas ambil dia, terus ke hotel yang mak dia dah tempah. Bukan hotel besar pun- yang jenis hotel bajet dan berkongsi dengan bangunan kedai barang elektrik dan lain-lain. Tapi dalam tu kira okey jugak la, memang bagus. Memang hotel.
Malam tu lepas makan kat kedai depan hotel tu, aku dengan Irfan ni pergi berjalan kaki ke tapak ekspo Syahbandar, tapak karnival Jom Heboh baru-baru ni. Gila. Dah la dua-dua berkopiah, dia ni pulak siap dengan kain pelikat, memang macam nak buat serbuan maksiat jugak la. Berjalan lebih kurang 15 minit, baru sampai kat sana. Irfan ni ingat nak tengok badminton kat TV gergasi tu, tapi aku rasa orang Kuala Tranung ni lebih suka tengok hoki rasanya. Lepas ushar-ushar ekspo, lepak-lepak tepi sungai ambil angin, masuk tempat shopping Astaka, kami pun mula berjalan balik ke hotel. Tapi satu lagi yang aku pelik pasal tempat ni, dari pukul 8 malam lagi dah kedai-kedai kat Tanjung ni tutup. Awal sungguh orang kat sini tidur mak aih. Yang ada pun cuma kedai-kedai makan tepi jalan tu. Lepas ke 7-Eleven depan nu sikit beli Slurpee, baru balik ke bilik. Aku tidur atas katil seorang diri- katil single. Bapak dan anak lelaki tidur kat bawah tengah-tengah antara 2 katil, katil satu lagi mak dengan anak perempuan. Malam tu sampai lewat malam diorang anak beranak ada tengok badminton kat TV, tapi aku dah tidur awal- aku bukan layan sangat pun sukan raket-bulu tangkis ni. Kaki lenguh tak payah cerita la. Lepas berlunjur, lipat, lepas lipat, berlunjur balik.

Isnin esoknya, sembahyang Subuh di Masjid Ladang. Sebenarnya tak sempat berjemaah pun; masuk-masuk je orang dah tahiyat akhir. Tapi masjid tu memang lawa. Aku pertama kali pergi. Besar juga. Lepas balik dan bersiap-siap, pergi makan nasi lemak di warung dan terus ke Pejabat Agama. Aku dengan baju kemeja lengan panjang yang aku beli di bundle untuk graduasi dulu pakai sama jaket. Berkasut berkopiah. Dressing ustad. Kawan aku pulak peserta, biasa la, macam pengantin. Berbaju Melayu siap bersamping. Lepas daftar untuk tujuan cabutan bertuah, masuk auditorium. Aku dengan bapak kawan aku ni duduk seat stail pawagam baris paling depan. Dia bagi aku kamera video untuk rakam orang mengaji. Dia sendiri guna kamera kecil biasa siap dengan kaki. Kira elok jugalah dia suruh aku jadi kameraman, walaupun aku agak takut nak handel alat-alat canggih ni, tapi sekurang-kurangnya taklah aku bantai membuta je masa orang sibuk mengaji. Kamera tu jugak aku gunakan untuk zoom dan ushar awek-awek yang datang menonton dan jugak yang jadi peserta. Hahaha. Keji sungguh. Tapi aku macam biasa, 2 3 kali jugak terlelap. Ada 2 kali sesi cabutan bertuah tak silap aku, tapi banyak budak sekolah je yang bertuah. Takpe, aku tunggu. Duduk dalam tu dari pagi sampai ke petang dalam pukul 3 lebih macam tu. Lepas makan hidangan tengah hari yang pengurusan dah sediakan, kitorang pun pergi ke Tanjung semula untuk cari tempat berehat dan mandi salin baju, sebab hotel yang semalam tu dah check out pagi tu. Majlis penutup dan keputusan pula malam tu baru diadakan. Jadi lepas dah jumpa satu hotel ni, kitorang pun dapat la berehat sementara tunggu malam. Hotel yang ni walaupun agak kureng sedikit, tapi tempat dia betul-betul depan Syahbandar yang agak sedap untuk lepak-lepak.
Tapi petang tu aku dengan Irfan ni tak tidur, kitorang pergi ronda-ronda bandar tu berjalan kaki sampai ke MekDonel untuk beli aiskrim, yang terletak tepi terminal bas, 3 4 blok dari hotel. Tapi walaupun aku tak tahu pun sebenarnya 3 4 blok tu jauh mana, tapi fuh, berpeluh juga aku berjalan. Sempat la juga lepak-lepak kat terminal bas tu, sambil berlagak tunggu bas untuk balik ke kampung, saja nak join orang-orang kat situ. Lepas dah bosan tengok orang tunggu bas, aku dengan dia pun berjalan ke Syahbandar tu balik, lalu jalan sepanjang masjid dan istana. Fuh. Dah macam pelancong asing pulak aku ni, ye la, tak pernah betul-betul sampai dan ronda-ronda bandar macam ni. Sempat juga lalu kat taman larangan tempat putera-puteri raja bermain dengan katak sakti dan bergurau dengan dayang-dayang. Lepas tu, pergi lepak tepi sungai, ambil angin. Memang sedap angin kat situ. Sambil tu tengok pak cik yang dah agak tua yang sedang asyik berjoget depan speaker besar yang mengalunkan irama dangdut. Ramai juga yang duk tengok pak cik tu. Aku pun tak tahu pak cik tu tengah high ke, nak melawak ke, nak bersenam ke, entah. Pukul 7 balik ke bilik hotel nak bersiap-siap. Lepas sembahyang Maghrib beserta jamak Isyak di surau depan hotel tu, aku duduk-duduk kat tepi gerai burger tepi surau tu sambil tunggu si Irfan ni yang baru turun nak sembahyang. Sempat juga aku sembang-sembang kosong dengan seorang abang ni yang berumur lebih kurang 40 lebih yang tengah tunggu burger. Aku syak dia ni drebar bas la kut, sebab kat situ pun memang tempat bas-bas tunggu penumpang. Rupa-rupanya dia ni pun dari Kemaman jugak, macam aku. Jauh sungguh tempat jumpa.
Malam tu pukul 8 lebih lepas check out dari hotel, terus ke Pejabat Agama untuk sekali lagi daftar. Kali ni tiket cabutan bertuah yang lain. Tapi masa tu awal lagi jadi kitorang pun ke medan selera dulu, makan-makan. Aku dengan kawan aku ni baham nasi lemak ayam goreng dengan ice-blended- aku mangga, dia coklat. Tapi ice-blended kedai tu dengan ABC yang mak dia pesan memang jahat. Sebiji macam dalam gambar yang disangkakan hanya untuk hiasan semata-mata. Sedap pun macam dalam gambar. ABC tu siap aku yang habiskan dengan bawa sekali dengan mangkuk-mangkuk kertas ke dalam kereta. Di majlis penutup tu, lepas ucapan perasmian penutup yang membuatkan aku terlelap lagi, barulah umum keputusan dan lepas tu sesi pembahagian hadiah. Hadiah tak payah cakap la, ribu-ribu ringgit. Kawan aku si Irfan ni dapat nombor 2 dalam kategori dia, 20 juzuk. Dapat RM 4300, sekali dengan duit saguhati masa saringan itu hari. Pergh. Ada yang dapat RM 7000 paling banyak. Aku telan air liur je la. Tapi memang budak-budak menghafaz al-Quran ni banyak ganjaran, dunia dan akhirat. Bukan macam persepsi masyarakat yang dari dulu menganggap belajar bidang agama ni susah nak dapat kerja, susah nak kaya. Lepas tu ada sesi cabutan bertuah. Aku dah siap baiki rambut yang terjulur keluar dari kopiah, mana la tahu dapat naik pentas menang hadiah. Dan nama pertama yang diumumkan menang cabutan bertuah tu nama aku, Muhammad Khair, sekali dengan alamat yang aku tulis dalam tiket cabutan tu. Pergh. Memang bertuah sungguh. Nanti ramai la hafizah-hafizah yang hantar surat-surat cinta ke alamat rumah aku tu kang. Dan aku pun naik la pentas bersalam dan ambil hamper hadiah bernilai RM 100 yang berupa sebuah kalkulator, sebatang pen kaligrafi, CD tarannum, buku surah-surah pilihan, buku asas-asas fardu ain dan sebuah al-Quran. Bertolak balik pukul 11 lebih jugak. Si Irfan ni sibuk sambil bergurau suruh aku mula hafaz al-Quran dan masuk bertanding tahun depan. Tu pun sebab aku dah bergurau hari tu, kalau menang cabutan bertuah yang memang dah tahu dapat al-Quran, aku akan masuk bertanding. Dan rupa-rupanya Allah memakbulkan gurauan aku. Huhu. Oleh kerana dah lewat malam tu dan masa sampai pun dah nak pukul 2 pagi, aku tidur je rumah dia. Aku bantai tidur sampai pukul 10 pagi. Si Irfan ni langsung tak kejutkan aku. Jadi lepas mandi, makan mi goreng dan layan DVD Fast & Furious 4 dengan dia, tengah hari tu baru aku balik rumah bapak dia hantar. Rumah aku dengan dia tak la jauh pun. Taman je lain-lain, kampung sama.

No comments:

Post a Comment

I want to know your answer.