Pada suatu hari, di dalam sebuah kelas, semasa waktu pembelajaran.
"Okey pelajar, ada mana-mana antara kamu yang tak faham tentang persamaan polifonik ketiga ni?" Cikgu Hamidah Jalil bertanya kepada pelajar-pelajarnya.
Salah seorang pelajarnya, Ahmad Helmi Borhanuddin Ali mengangkat tangan lalu berkata, "Aku masih tak faham, cikgu. Boleh kau tolong terangkan sekali lagi?"
Cikgu Hamidah Jalil terkejut dengan kata-kata Ahmad Helmi Borhanuddin Ali tersebut. Pelajar-pelajar lain pun ada yang terlopong, ada juga yang sudah membayangkan akibat dari soalan si Ahmad Helmi Borhanuddin Ali itu. Namun, berasakan yang dia mungkin tersalah dengar, memandangkan telinganya lupa dikorek pagi itu, Cikgu Hamidah Jalil bertanya kembali kepada pelajarnya yang agak kacak dan radikal itu.
"Apa Helmi? Boleh kamu ulang kembali bahagian mana yang kamu tak faham?" kata Cikgu Hamidah Jalil, dengan nada sedikit tertahan. Ahmad Helmi Borhanuddin Ali sambil tersenyum sopan dan dengan nada yang sama, mengulang kata-katanya. Kali ini dengan lebih jelas, "Aku masih tak faham, cikgu. Boleh kau tolong terangkan sekali lagi?"
Cikgu Hamidah Jalil, kali ini pasti dan yakin dengan apa yang didengarinya, terus menyinsing lengan baju kurung kain kapas Inggerisnya itu dan bercekak pinggang, mendedahkan gelang-gelang emas yang bersusun di lengannya, dan dengan wajah yang bengis menjerkah pelajarnya itu. "KAMU JANGAN JADI KURANG AJAR HELLMI! BERCAKAP DENGAN GURU, GUNA AKU-KAU, KAMU INGAT SAYA NI SIAPA? KAWAN SEPERMAINAN KAMU KE HAH?"
Ahmad Helmi Borhanuddin Ali sedikit terkejut dengan jerkahan guru Matematiknya itu. Rakan-rakan sekelasnya yang lain juga turut terkejut, bahkan melebih-lebih lagi, lebih dari si Ahmad Helmi Borhanuddin Ali yang dijerkahi itu sendiri. Ada yang mula ketar lutut. Ada yang memandang Ahmad Helmi Borhanuddin Ali dengan muka yang dicebirkan. Ada yang terlopong, dan ada juga yang tunduk, pura-pura tekun menjawab latihan sedangkan telinga dan minda tekun memberi perhatian kepada insiden yang sedang berlaku.
Walaubagaimanapun, Ahmad Helmi Borhanuddin Ali kelihatan kembali tenang dan terkawal dari rasa terkejutnya sebentar tadi. Dia menarik nafas dalam-dalam, lalu berkata, "Kenapa cikgu? Salah ke aku bercakap dengan kau macam ni?"
"KAMU MEMANG KURANG AJAR HELLMI! MANA BUDI BAHASA DAN HORMAT KAMU TERHADAP GURU? KAMU SEPATUTNYA MEMBAHASAKAN DIRI SEBAGAI "SAYA" APABILA BERCAKAP DENGAN GURU KAMU!"
Ahmad Helmi Borhanuddin Ali lalu berkata dengan ikhlas dan jujur, "Sedangkan dengan Tuhan pun, dalam doa-doa, aku membahasakan diri sebagai "aku". Kenapa pula dengan cikgu, yang sama sekali bukan tuhan, harus aku membahasakan diri sebagai "saya"?"
Cikgu Hamidah Jalil terkelu. Mukanya merah padam, marah barangkali. Barangkali juga malu kerana tidak tahu apa yang harus dikatakan kepada pelajarnya yang dianggap kurang ajar, biadap, tak beradab, celaka, jahanam, dan sebagainya itu.
Di bahagian belakang kelas, kelihatan Malik Johari perlahan-lahan berdiri dan keluar dari pintu belakang, barangkali mahu ke tandas. Nurul Shuhada Karim, yang duduk selang tiga meja dari Ahmad Helmi Borhanuddin Ali pula tunduk menekup muka sambil tersedu-sedan.